Saturday, October 09, 2010

Mengejar Mimpi 1

Di suatu sudut di belakang pohon durian yang tingginya memang sesuai jika dipanggil pohon durian, kelihatan seorang pemuda tidak berbaju berseluar tiga suku adidas segak berdiri sambil mengasah sebilah parang panjang. Gaya asahannya menunjukkan dia bukan orang-orang biasa, tetapi lebih kepada orang zaman purba dulu kala. Bermata sepet, hidung kemek, telinga kecik dan rambut kerinting rapat-rapat menambahkan lagi perisa kekunoannya. Badannya tegap berketul-ketul menandakan dia bukan lah lawan yang mudah kepada Superman mahupun X-men. Asahannya begitu halus dan teliti tetapi bertenaga. "Bukan calang-calang manusia", bisik orang ramai tatkala melihat Galak.

Beberapa jurus waktu kemudian, satu lembaga manusia menjelma beberapa kaki sahaja daripada tempat Galak mengasah parang. Tinggi dan tegap orangnya dan berkulit putih gebu, mukanya ala-ala barat memang sedap mata memandang. Berdirinya sedikit senget tetapi teguh di kala menggenggam erat sebatang tombak di tangan kanannya, memang menampakkan gaya pendekar sebenar.

Jelingannya yang tajam ke arah Galak menyebabkan angin kuat menghembus tempat berdirinya mereka berdua. Rambutnya yang panjang mengurai berterbangan di tiup angin. Galak yang dari tadi sibuk mengasah parang tanpa mempedulikan kehadiran Jaki memberi jelingan pemusnah kepada Jaki tanda cemburu melihat rambut pendekar itu dan sedikit protes dengan dirinya yang dahsyat sekali bezanya berbanding Jaki.

Suasana sekeliling yang menjadi saksi pertarungan kedua mereka yang bakal berlaku dengan dahsyatnya menjadi hening seketika. Hanya hembusan nafas mereka sahaja yang dapat didengari. Galak yang lagaknya macam sedang mengasah parang sebenarnya sudah bersedia dari awal-awal lagi untuk menghadapi ancaman Jaki dari pelbagai arah. Peluh keringat yang membasahi pipi dan dahi Jaki pula bukanlah menggambarkan perasaan gemuruhnya berhadapan Galak tetapi membuktikan dia sudah warm-up terlebih dahulu sebelum bertemu Galak, bimbang berlaku kekejangan di mana-mana bahagian anggota badan semasa pertarungan.

"Galak!" seru Jaki lagak anak jantan.

"Ye saya", jawab Galak sopan.

Jaki menyambung, "Pertarungan ini.."

"memang tidak dapat dielakkan lagi!", sampuk Galak tanpa mempedulikan Jaki untuk menghabiskan kata-katanya.

Jaki memandang geram kepada Galak. Tiada respon yang diharapkan daripada Galak.

"Ayuh Galak! Masa sudah mencemburui kita!" teriak Jaki spontan sambil melompat tinggi ke arah Galak.

Galak sedikit kaget...

7 comments: