Tuesday, October 26, 2010

Ahad (cuti umum)

Pada pagi ahad 24 Oktober,seperti ahad-ahad sebelumnya, matahari akan muncul di kala Sulaiman masih lagi terlentang luas di tengah-tengah rumah bersama tilam comot dan bantal tidak bersarung kesayangannya. Leteran emaknya di dapur memarahinya sambil menyediakan sarapan hanyalah seperti memberinya selimut tebal di hari yang dingin. Manakan air setitik nak melawan api sebelanga. Selagi bunyi mesin rumput Mak Piah isteri Pak Cik Kamsah belum kedengaran, selagi itulah Sulaiman kaku seperti ular sawa kenyang lepas makan kambing Pak Kordi.”Preeng!! preeng!! Preng preng preeeeng!!!” bunyi mesin rumput dihidupkan. Seperti biasa, terkumat-kamit mulut Sulaiman marah-marah seorang diri tanda protes tidak cukup tidur. Memang menjadi rutin mingguan,Mak Piah akan menggunakan mesin rumput untuk menebas lalang di sekeliling rumahnya selesai sahaja solat Asar.


Biasa-biasa matahari akan naik sebelah timur. Tapi pada hari ahad itu, matahari kelihatan naik sedikit tenggara daripada biasa. Ini menunjukkan kompas yang baru dibeli semalam oleh Khairunizam di Pasaraya Mydin sudah tidak boleh dipercayai. Mencarut-carut Khairunizam sambil membalingkan kompas yang baru dibelinya itu ke arah kucing kesayangan emaknya yang sedang tidur. Sudah menjadi kebiasaan spanar hidup akan melekat balik ke mukanya. Khairunizam tersengih-sengih kagum melihat tindakan pantas emaknya sambil mengelap darah yang berciciran di kepalanya. Pak Cik Hasan Bakri yang sedang membaca akhbar sekadar tersenyum melihat ragam dua beranak itu.


“Kriiiiiing!!!!!”

Jam loceng milik Kamal Ali berbunyi mengejutkan seluruh penghuni Taman Idaman yang sedang nyenyak tidur. Seperti biasa, Kamal Ali yang merupakan pengawas sekolah Darjah 4 bingkas bangun mencapai tuala dan terus bergegas ke bilik air. Menjawat jawatan pengawas bukanlah sesuatu yang dipandang ringan oleh Kamal Ali. “Disiplin dan komitmen mestilah sebati dalam diri”, ujarnya seorang diri di depan cermin di dalam bilik air sebaik sahaja selesai mandi setiap hari. Selepas mengenakan kemeja pengawas lengan panjang warna hijau dan seluar pendek paras peha ala-ala zaman 50-an, Kamal Ali terus ke dapur. Sesampainya di dapur, dia terus membuka tudung saji penuh excited. Kosong! Kamal Ali melangkah kecewa tetapi pantas mencapai kasut Pallasnya. Dalam hati, Kamal Ali memasang tekad untuk mengubah perangai ibunya supaya lebih berdisiplin suatu hari nanti. Kamal Ali kemudiannya menghampiri seorang pakcik yang sedang menanam pokok kaktus.”Ayah, pergi dulu” berkata akan Kamal Ali penuh sopan seraya menghulurkan tangan. Pak Cik Khamis Ali menyambut tangan anaknya itu seperti biasa. Dicium tangan ayahnya lama-lama. Pak Cik Khamis Ali sudah menduga. Diseluk poket bajunya sambil mengeluarkan sekeping not warna biru. Kamal Ali pantas merampas not tersebut dari tangan Pak Cik Khamis Ali dan berlalu pergi. Pak Cik Khamis Ali menggeleng-gelengkan kepala melihat reaksi anak kesayangannya itu. Kamal Ali mencapai basikal dan mengayuhnya dengan kayuhan bertenaga supaya cepat sampai. Sampai di sekolah, kelihatan gate sekolah masih belum dibuka. Kamal Ali tersenyum puas. Pak Guard tewas di tangannya.Pak Guard bukan lagi lawan Kamal Ali dalam acara siapa sampai awal ke sekolah. Apatah lagi pelajar-pelajar lain yang memang sudah mustahil untuk menandingi kehebatannya.

“Nak, hari ini hari apa?” tegur seorang pakcik dalam lingkungan umur 90-an yang sedang menunggang kuda melalui kawasan itu.

“Ahad pakcik” jawab Kamal Ali senang hati.

Seperti biasa,dilihatnya pakcik yang bertanya tadi sudah jauh memecut kuda tunggangan beliau dan meninggalkan Kamal Ali dengan seribu teka-teki.

“Ya Allah!” Kamal Ali menepuk dahi bertubi-tubi seperti biasa.

Di kejauhan, terukir senyuman nipis di bibir pakcik koboi sambil menurunkan menurunkan visor seraya mengarahkan kudanya memecut ke kelajuan maksimum.

9 comments: